Bajet 2013: Adakah Selari Dengan Syariah Serta Adil Kepada Generasi Akan
Datang?
Pelbagai
pandangan telah diberikan terhadap Bajet 2013 yang baru dibentangkan oleh
Perdana Menteri. Ramai pihak mempunyai pandangan yang positif kerana banyak
bantuan akan diberikan kepada pelbagai pihak terutama sekali yang berpendapatan
rendah, serta golongan petani dan nelayan, warga tua, pelajar dan masyarakat
luar bandar. Golongan muda yang berpendapatan rendah juga turut mendapat
manfaat dalam bentuk rebat pembelian telefon bimbit berjumlah RM200, iaitu satu
langkah yang tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini. Dalam erti kata
yang lain, boleh dikatakan hampir kesemua golongan rakyat mendapat manfaat dari
bajet tersebut.
Bagi kita orang
Islam, apa yang menjadi perkiraan utama dalam menilai bajet tersebut sepatutnya
bukanlah manfaat keduniaan kepada diri sendiri semata-mata. Yang lebih penting
ialah adakah bajet tersebut sehaluan dengan prinsip dan ajaran Islam atau
tidak. Ini kerana sebagai orang Islam, kita semua telah dididik dengan ajaran
Al-Quraan bahawa sumber kesejahteraan negara dan masyarakat adalah di tangan
Allah SWT. Negara tidak akan aman damai dan sejahtera tanpa keizinan Allah yang
Maha Berkuasa. Apa pun perkara yang kita lakukan, termasuk dalam merangka bajet
negara mestilah dilakukan dengan pertimbangan mencari keredhaan Allah SWT
semata-mata. Oleh itu, isu utama yang perlu dikaji ialah sama ada Bajet 2013
bercanggah atau tidak dengan Syariat Islam.
Jawapan kepada
persoalan sama ada Bajet 2013 bercanggah atau tidak dengan Syariat Islam adalah
agak jelas. Ini kerana ciri utama kepada bajet tersebut ialah ia memerlukan
kerajaan menambahkan hutangnya lagi untuk tahun yang ke-16 berturut-turut
semenjak dari tahun 1997. Akibat dari belanjawan yang sentiasa berbentuk
defisit dalam tempoh yang lama itu, hutang terkumpul kerajaan sekarang sudah
mencapai RM503 billion. Jumlah berkenaan adalah satu jumlah yang sangat besar
terutama sekali jika kita mengambil maklum bahawa hutang kerajaan hanya
berjumlah tidak sampai RM5 billion pada tahun 1970.
Dari perspektif
Islam, adalah tidak salah untuk kerajaan berhutang untuk memberikan manfaat
kepada rakyat. Tetapi langkah berhutang tersebut mesti memenuhi dua syarat
utama iaitu hutang tersebut bebas dari unsur Riba serta hutang tersebut boleh
dibayar balik oleh kerajaan. Malangnya kedua-dua syarat utama
tersebut jelas tidak dapat dipenuhi. Sumber utama kepada hutang negara adalah
dengan menggunakan instrumen `Sekuriti Kerajaan Malaysia’ (Malaysian Government
Securities atau MGS) yang menggunakan kaedah Riba yang jelas haram dari
perspektif Syariah. Tambahan pula, hutang kerajaan yang terkumpul sekarang
telah meningkat ke angka lebih dari separuh trillion Ringgit dengan penjelasan
hutang tahunan (Debt Service) yang meningkat setiap tahun. Untuk makluman, pada
tahun 1998 penjelasan hutang tahunan oleh kerajaan hanya berjumlah RM7 billion,
namun sekarang ini ianya akan melebihi RM20 billion setahun pada tahun 2013.
Tren ini jelas membuktikan bahawa kerajaan sekarang ini bukan sahaja tidak
berupaya mengambil langkah mengurangkan jumlah hutangnya, bahkan juga tidak
berupaya atau tidak bercadang untuk mengambil langkah untuk mengelak dari
menambahkan beban hutangnya.
Sebenarnya
kaedah pembiayaan kewangan negara sudah jauh tersimpang dari pendekatan Islam.
Di dalam Islam sepatutnya kerajaan hanya berbelanja untuk rakyat berdasarkan
pendapatan yang diperolehi sahaja. Di samping itu, pendapatan utama kerajaan
sepatutnya adalah dari sumber yang terhad sahaja seperti hasil galian seperti
minyak atau bijih, atau sewaan harta kerajaan (Kharaj) atau zakat di mana zakat
hanya boleh dibelanjakan menurut syarat yang ketat sahaja. Ramai ulamak
berpendapat bahawa kerajaan mesti mengelak dari memperolehi pendapatan melalui
percukaian yang dikenakan ke atas rakyat atau melalui sumber hutang. Menurut
mereka, percukaian sebagai sumber pendapatan atau melalui hutang sepatutnya
hanya dilakukan sebagai langkah terakhir dan untuk keperluan mendesak sahaja
seperti untuk membantu memberi makan kepada golongan miskin dan melarat atau
untuk tujuan pertahanan negara. Jika kerajaan mempunyai sumber pendapatan dari
sumber galian atau dari pemilikan harta seperti tanah dan sebagainya, maka
sepatutnya kerajaan tidak lagi perlu untuk mengenakan cukai kepada rakyat atau
berhutang.
Sebaliknya
sekarang kita menghadapi senario di mana kerajaan bukan sahaja mengenakan cukai
kepada rakyat dalam berbagai bentuk termasuk cukai impot kereta dan sebagainya
bahkan kerajaan juga sedang menambahkan jumlah hutang terkumpul ke tahap lebih
dari lima ratus billion Ringgit. Negara kita adalah sebuah negara yang
kaya dengan sumber asli dan bukannya sebuah negara yang kering kontang. Di
samping itu rakyatnya juga adalah berpendidikan, mahir serta rajin. Ramai yang
sanggup kerja siang dan malam untuk mencari rezeki. Oleh itu, jika pengurusan
kewangan kerajaan dilakukan dengan baik dari dulu lagi dan jika langkah yang
serius diambil untuk mengelak dari berlakunya pembaziran dan ketirisan dalam
perbelanjaan, maka sebenarnya tidak ada sebab kenapa kerajaan harus berhutang
untuk membiayai perbelanjaannya.
Pada hakikatnya
hutang kerajaan ini mesti dibayar pada satu hari nanti dan sudah tentu yang
bertanggungjawab membayar hutang-hutang tersebut adalah generasi akan datang,
iaitu generasi anak-anak dan cucu-cucu kita. Untuk menangani masalah hutang
kerajaan ini di masa hadapan perbelanjaan kerajaan sudah tentu akan
terpaksa dikurangkan sementara pendapatan kerajaan pula sudah tentu juga perlu
ditambahkan. Ini bermakna satu hari nanti polisi-polisi berikut akan terpaksa
dilaksanakan:
1) Cukai
akan dinaikkan. Ini termasuk cukai pendapatan, cukai impot, cukai perkhidmatan,
cukai jualan dan lain-lain
2) Pelbagai
bentuk subsidi terpaksa dikurangkan atau dihapuskan, termasuk subsidi minyak
petrol dan disel, subsidi makanan, subsidi padi, subsidi pendidikan dan
lain-lain
3) Yuran
bagi perkhidmatan kerajaan akan terpaksa dinaikkan seperti yuran persekolahan,
yuran perkhidmatan kesihatan dan lain-lain
4) Gaji
penjawat awam akan terpaksa dipotong
5) Pencen
juga akan terpaksa dipotong
6) Usia
persaraan akan dilanjutkan
7) Saiz
sektor awam terpaksa dikecilkan dengan memberhentikan pekerja sektor awam
secara paksa
8) Dan
lain-lain langkah yang difikirkan perlu untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan
Saya sangat
yakin tentang keperluan langkah di atas dilaksanakan satu hari nanti kerana
sebenarnya kesemuanya telah dan sedang dilaksanakan di beberapa buah negara di
Eropah seperti Britain, Greece dan Sepanyol. Ini adalah kerana di tahun-tahun
sebelumnya, semua kerajaan-kerajaan di negara-negara tersebut, seperti
juga di negara kita, telah melaksanakan bajet yang defisit setiap tahun
serta menambahkan hutang terkumpul kerajaan. Faktor utama adalah kerana
kerajaan-kerajaan tersebut sentiasa bersaing untuk menjadi popular di mata
rakyat dan oleh itu telah berbelanja dengan tidak berhemah untuk memberikan
kesenangan kepada rakyat dengan harapan rakyat akan memberi undi kepada mereka
setiap kali pilihanraya umum dijalankan. Akibatnya jumlah hutang terkumpul kerajaan
telah menjadi terlampau tinggi. Oleh itu, sekarang ini mereka tidak dapat lagi
mengelak dari mengambil langkah berjimat cermat yang drastik dengan cara
memotong pelbagai jenis perbelanjaan dan menarik balik pelbagai bentuk subsidi
untuk memastikan saluran hutang dari pihak-pihak pemiutang masih terbuka.
Sudah tentu
langkah berjimat cermat ini tidak dipersetujui oleh rakyat. Mereka merasakan
bahawa keadaan adalah tidak adil kerana mereka yang tidak bersalah terpaksa
menanggung penderitaan akibat dari kesilapan pemimpin politik dalam menguruskan
kewangan negara. Akibatnya telah berlaku protes dan tunjuk perasaan yang
bersiri oleh rakyat yang sudah tidak tahan dengan penderitaan akibat dari
langkah penjimatan tersebut. Seringkali protes menjadi ganas yang mengakibatkan
ramai tercedera dan banyak harta benda rosak atau musnah. Bahkan ramai dari
warga negara mereka yang telah membunuh diri akibat tekanan kehidupan
yang tidak dapat ditanggung serta perasaan kecewa dan putus harapan dengan masa
depan yang dilihat semakin sempit, gelap dan menakutkan.
Kita kena sedar
bahawa maqasid atau tujuan Syariat Islam adalah untuk
mendatangkan manfaat kepada masyarakat. Senario kegawatan ekonomi, huru-hara
dan kesengsaraan yang sedang berlaku di negara-negara Eropah dan yang juga akan
berlaku di negara kita jika kaedah pengurusan kewangan negara ini tidak diubah
kepada cara Islam jelas menunjukkan bahawa adalah menjadi tanggungawab semua
ahli masyarakat, terutama sekali dari kalangan mereka yang menggelarkan diri
mereka sebagai pendakwah berusaha dengan segala daya mereka untuk memastikan
bahawa ajaran Islam diamalkan sepenuhnya di dalam semua aspek kehidupan
termasuk di dalam aspek penyediaan bajet negara.
Akhir sekali,
isu yang perlu difikirkan ialah tentang isu keadilan kepada generasi akan
datang. Sekarang ini kerajaan jelas sedang mengejar populariti di mata rakyat
dan telah memberikan rakyat banyak manfaat menerusi Bajet 2013 supaya semua
merasa senang dan berpuas hati. Persoalannya, adakah kerajaan juga telah
berlaku adil kepada generasi akan datang yang akan menderita di hari muka akibat
dari terpaksa menghadapi berbagai masalah hasil dari langkah yang terpaksa
diambil untuk membayar balik semua hutang yang kelak nanti sudah sampai ke
tahap yang tidak dapat ditanggung lagi?
p/s: minta sebarkan semahu anda! :)
No comments:
Post a Comment